Bercuti bersama keluarga di Lotus Desaru Beach Resort

Hai semua!

    Memandangkan kelonggaran merentas negeri telah dibenarkan oleh Perdana Menteri, ramai masyarakat Malaysia telah mengambil kesempatan untuk bertemu dengan kawan-kawan serta keluarga tersayang. Aktiviti pelancongan juga telah kembali rancak selepas pembukaan sempadan negeri untuk memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk bergembira dan melepaskan tekanan perasaan. Oleh itu, kami sekeluarga juga tidak melepaskan peluang ini dan telah membuat keputusan untuk bercuti di Lotus Desaru, Johor. 

    Desaru merupakan kawasan pelancongan yang terkenal di Johor. Ianya terletak di Daerah Kota Tinggi, Johor, Malaysia. Desaru ini terkenal dengan pantai yang indah yang selalu dipenuhi oleh pelancong-pelancong dari luar negeri dan juga luar negara. Banyak tarikan yang menarik di desaru ini seperti Taman Tema Air Desaru Coast. Kami memulakan perjalanan dari Johor Bahru ke Desaru dengan melalui Highway EDL. Perjalanan mengambil masa lebih kurang 1 jam setengah untuk sampai ke Lotus Desaru ini. Sepanjang perjalanan kami dapat lihat banyak pusat penginapan seperti hotel dan chalet yang dibuka di sepanjang pantai desaru ini. Sepanjang kami lalu juga terdapat banyak monyet yang berkeliaran dan kami sangat teruja kerana jarang untuk bertemu dengan monyet semasa di bandar. Oleh itu, inilah peluang yang menarik untuk kami berikan sedikit roti kepada mereka.



    Setibanya kami di Lotus Desaru, kami mendaftar masuk di kaunter pendaftaran dan kami telah dapat dua tiket percuma untuk bermandi-manda di taman tema air yang mereka sediakan. Bilik yang disediakan juga sangat cantik dan bersih dan juga ia sangat berbaloi dengan harga yang ditawarkan. Kami memilih bilik dua tingkat di mana bahagian bawah ialah ruang tamu dan bahagian atas ialah bilik. Ianya sangat seronok juga kerana bilik kami berhadapan dengan taman tema air mereka di mana sangat memudahkan kami untuk bermandi-manda. 



    Kami juga telah pergi ke pantai untuk bermandi-manda di sana dan menikmati suasana pantai dengan tenang. Bunyi hempasan ombak dan laut yang sungguh indah membuatkan kami berasa seronok dan dan sangat tenang. Kami juga tidak melepaskan peluang ini dengan bermain jet ski. Ianya sangat seronok dan pengalaman yang terbaik untuk kami semua. Jadi, kepada anda semua yang membaca blog ini, jangan lepaskan peluang untuk bercuti bersama-sama rakan dan juga keluarga di Lotus Desaru Beach Resort ini kerana ianya memang sangat menyeronokkan. 










Comments